Definition of Satisfaction is indefinite

Salam...

Alhamdulillah.

Baru sahaja pulang dari Nilai, kampus USIM. Ada kenangan baru yang lebih manis. Rasa ingin senyum sepanjang hari. Perasaan itu bercampur baur. Ada rasa gembira, juga ada rasa cemburu serta rasa kagum. Yang penting, ada rasa puas hati.

Saya menyukai Bahasa Arab yang amat, pada masa yang sama, saya tak suka debat. Tapi saya seronok bila tengok sahabat-sahabat berdebat, sebab boleh gelak sesuka hati tak perlu skema bila terdengar idea-idea yang lucu. Beri komen sesuka hati seolah-olah kitalah pendebat sebenar. Juri awam tak bergaji dan bertauliah. Takpe, saya suka.

Kepuasan diri, siapa yang benar-benar boleh menterjemahkannya. Lain orang lain rasa. Yang penting, kita tak melanggar syariat dan hukum-hakam Allah swt. Sebab, ada orang suka berdebat, untuk melatih diri bercakap dengan yakin, dan juga bertukar-tukar idea secara tak langsung, tapi ada juga yang suka berdebat, sebab nak menunjuk-nunjuk kepakaran pada orang, dan merendah-rendahkan orang lain. Kena ingat, matlamat dan niat kena selalu diluruskan, barulah hidup ini bahagia, tak mudah ditipu syaitan yang sangat licik.

Sekian. (Senyum masih terlekat kat bibir sampai tertidur rasanya)

Wassalam.

Antum salafuna wa nahnu bil-asayr.

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, bersyukurlah dengan apa yang ada, redha dengan apa yang tinggal. 

Betapa aku ragu-ragu untuk menulis lagi. Tapi rasanya ada sesuatu untuk dikongsikan bersama.

Percaya, yakin dan tidak ragu, bahawa MATI itu adalah sesuatu yang pasti. Hari ini jika bukan kamu, maka ada beribu lagi yang sedang ajalnya ibarat telur di hujung tanduk.

Betapa perit dan goyahnya rasa iman itu, tatkala orang yang TERsayang dan TERcinta, yang boleh dikatakan PALING understanding tentang jiwa anda, tiba-tiba sahaja dijemput pulang oleh Tuhan Yang Tidak Pernah Mungkir Janji. Rasa seperti dihempap gunung ke dada, dan dada itu tidak remuk melainkan menanggung bebanan yang teramat berat.

Tak nampak di mana ibrahnya, di mana kepentingannya, di mana signifikannya pada mata aku. Mengapa mesti dia juga yang pergi ? Pada waktu sebegini ?

Tetapi, Mukmin itu diajar dan dituntut supaya redha dengan segala yang musibah yang menimpa, berhati-hati pula dengan sebarang nikmat yang diberi. Barulah, rasa tenang itu kembali ke jiwa, rasa kuat itu kembali bertapak ke jiwa. Ibarat layang-layang yang terputus tali, tapi dengan izin Tuhan, ada tali lain yang hadir untuk meneguhkan pegangan. Betapa aku mulai sedar, kekuatan itu benar-benar milik Allah swt, Yang Menghidupkan, Yang Mematikan. 

Mungkin inilah yang terbaik untuk bonda tercinta, agar dia boleh berehat panjang daripada derita sakitnya di dunia ini. Tak dapat lagi aku memikirkan hikmah yang tersembunyi selain ini, mungkin akan timbul di masa depan kelak, Tuhan kan Maha Adil, lagi Maha Bijak aturan-Nya.

Boleh sahaja jika aku mahu, dan ahli keluargaku yang lain mahu, menangis sepuas-puasnya, hingga terjejas kehidupan dan kesihatan diri. Tapi, aku yakin, bukan ini yang dimahukan dan yang hendak diwariskan oleh arwah bonda, serta arwah nenda beberapa tahun yang lalu, melainkan sifat sabar, tabah dan cekal dalam meneruskan hidup sehari-hari. Hidup kena kuat, dan nak cari kekuatan itu kena kembali pada sumbernya, iaitu keyakinan pada Tuhan dan segala apa yang dijanjikan-Nya. Bahawa orang mukmin itu akan berjumpa dan bersahabat kembali di syurga-syurga kelak. Bukankah itu yang lebih utama ? Kekal bersama di kehidupan yang jauh lagi nikmat dan abadi ??

Aku kena berusaha lebih lagi, untuk memperbaik amal, dengan lebih tekun lagi untuk memastikan diri ini terselamat di akhirat kelak. Supaya dapat bersama-sama dengan orang-orang mukmin, para nabi, dan orang-orang soleh, dan merekalah sebaik-baik teman. Banyak dosa rasanya, tak layak lagi untuk mengikut jejak langkah mereka.

Untuk seketika, hidup rasa macam kosong sahaja, tak tahu apa yang nak dibuat lagi. Rasa cemburu juga mula timbul, melihat kepada yang lain, sudah berkeluarga dan punya anak. Ada komitmen yang teguh, yang diredhai oleh Allah swt. Moga-moga kekal sepanjang hayat dan diberkati Tuhan, kepada abang-abang ipar, jagalah isteri-isterimu dan anak-anakmu elok-elok, bimbinglah mereka ke jalan yang benar, straight ke syurga. Aku juga punya komitmen, serta tanggungjawab, dalam bentuk yang lain. Jadi, kena berkhidmat sungguh-sungguh dahulu. Kena jadi kuat semangat, supaya yang lain turut kuat semangat. Kita takkan dapat manfaat dari pelita yang bocor, kelak terbakar pula satu rumah. 

Aku hampir terlupa, bersyukur kerana masih mempunyai ayahanda yang caring, dan penyayang serta penyabar. Sedangkan orang lain ada juga yang sudah kematian bapa, lagi-lagilah mereka kena cekal dalam kehidupan yang fana ini. Ada orang yatim piatu, lagi berat ujiannya.

Jika kita melalui kawasan kubur, maka berilah salam. Dan antum salafuna, wa nahnu bil-asyr. Yang bermaksud, kamu semua(ahli kubur) mendahului kami ( Berjumpa maut terlebih dahulu ), dan kami (insyaAllah) akan menjejaki kamu semua. (turut menemui ajal kelak).

Astaghfirullah, semoga ujian yang berat ini tak datang dengan sia-sia, melainkan ada hikmah yang banyak padanya pada aku, dan ahli keluarga yang lain. Sesungguhnya hanya kepada Allah swt sahajalah kita akan kembali kelak, dan syurgalah sebaik-baik tempat kembali. Teruskan berdoa buat ibu bapa kita, kerana doa anak yang soleh itu antara sumber bekalan amal mereka. Jangan hampakan orang tua kita yang penat membesarkan kita. I'm already 21 yo this year, begitu cepat masa berlalu.

p/s : Thanx kepada korang, maybe berkat doa korang, aku dapat balik rasa kekuatan itu untuk terus menjadi manusia yang taat dan redha pada Tuhan, dan yang terus berbuat baik pada kedua orang tua. Baik yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.

p/s 2 : K Wah duk molek2 nge aufiya di kedoh tu ye.

Tak Faham

Salam...

Kefahaman itu berbeza antara satu manusia dengan manusia yang lain. Ada yang taraf kefahamannya sangat bagus dalam sesuatu perkara. Namun, dalam perkara yang lain, ada orang lain yang lebih tinggi kefahamannya berbanding orang yang pertama tadi.

Aku sendiri tak berapa faham dalam sesetengah topik dalam sesuatu subjek. Tapi, tak bermakna topik-topik yang lain aku tak faham juga. Biasalah adat orang mengaji ilmu, ada sahaja ruang kosong dalam otak untuk diisi. Ilmu itu luas, namun ditegaskan ilmu yang dimiliki Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi berganda-ganda taraf-Nya. Jika dibandingkan, seperti setitik air yang diceduk dari lautan yang amat luas. Tak terbayang dek fikiran betapa luas ilmu Allah s.w.t. Oleh itu, amat tidak wajarlah seseorang hamba itu jika diberi kelebihan ilmu berbanding hamba-hamba yang lain, lalu bongkak sikapnya serta bakhil dalam berkongsi. 

Akhir-akhir ini, ada sahaja orang mengatakan, " Tak faham ko tulis ape, tolong terangkan... ". Ish, blog ini tulis untuk suka-suka sahaja, kadang-kadang sengaja ditulis supaya tak semua faham. Sebenarnya, aku sendiri tak faham apa yang mereka tak faham. Mungkin sebab gaya bahasa rojak yang melampau, menyukarkan proses analisa sebarang post yang ditulis dalam blog ini. Tapi, sudi nak mengingatkan, kadang-kadang/kebanyakan tuan punya blog berkongsi pendapat sahaja. Mahu ditolak, mahu dikritik, mahu dibidas balik... Terpulanglah, sekadar bacaan ringan-ringan sahaja. Tak perlu difikirkan sangat. Satu lagi, kena faham, amatlah tidak cool bagi penulis blog menerangkan tentang postnya kepada pembaca. Kalau tak faham, jangan risau, tak masuk mana-mana soalan peperiksaan.
  
Faham itu kondisinya sungguh tersirat, tapi boleh dilihat melalui respons. Jika kita buat lawak, lalu ada orang yang gelak. Itu maknanya mereka faham apa yang kita bawakan. Berjaya. Tapi, ini situasi mudah sahaja.

Jika ramai yang faham, tudung itu wajib. Maka kita akan tengok respon, semua wanita bertudung dengan  rasa gembira dan senang hati. Jika ramai yang faham, solat itu wajib, Tuhan yang suruh, bukan ibubapa mahupun ustaz-ustazah yang suruh, bukan sebab melihat lakonan Nur Kasih, maka alhamdulillah, ramailah yang bersolat tanpa perlu disuruh-suruh. Masalah sekarang, ramai yang tak faham. Lagi kita takuti, ramai yang buat-buat tak faham. Aduh, pening kepala jadinya.

Pening memang pening kepala. Contoh lain, kita nak minta sesorang individu yang khusus untuk meletak jawatan, tapi beliau tidak faham, menyuruh seluruh kakitangannya pula meletak jawatan. Bukankah itu menunjukkan dia tak faham kehendak rakyat, ataupun dia sengaja buat-buat tak faham ?? Porak peranda satu negara jadinya.

Tak faham sungguh dengan pelbagai isu yang berbangkit sekarang. Macam-macam dan aneh bin ajaib. Terbaru, ada yang mengatakan, nasi itu tidak dimakan, ataupun memakan diri sendiri. Tapi jelas nasi kukus itu bersadai dengan kesan-kesan air liur yang nyata. Aku rasa aku dah faham, tapi bila baca kenyataan itu, aku rasa aku kena belajar banyak lagi. Aku merasakan ada sesuatu yang diputar belitkan. Mungkin perasaan semata-mata. Abaikan. (Kepada sesiapa yang tidak faham perenggan ini harap maaf)

Kadang-kadang juga tak faham, kenapa kita mesti bersikap baik sentiasa walaupun zaman sekarang dah berubah, orang jahat di mana-mana,maknanya kita juga mesti jadi jahat untuk melindungi diri sendiri. Tapi ada pepatah Melayu mengatakan, ada ubi ada batas. Ada buku, ada ruas. Oh, maknanya kena hati-hati sentiasa. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali dua.

Akhir kalam, tak faham adalah rempah ratus dalam kehidupan. Barulah timbul rasa seronok dalam berusaha menambahkan ilmu di dada. Jika anda beritahu orang yang anda faham segalanya, andalah seorang manusia yang paling tak faham dalam dunia.

P/s : Selalu dengar orang cakap macam ni, " I kalau boleh nak cari yang understanding, yang boleh faham I, yang boleh terima I"

Bila Trauma dah terubat...

Salam...

Alhamdulillah... Syukur tak terhingga... Kadang-kadang, tak terpikir di akal ini, bagaimana mungkin mampu lagi kita mendapat rezeki yang begitu mencurah-curah, datang dari pelbagai pintu, atas bawah depan belakang... Layakkah sebenarnya ?? Malu pula timbul di hati pada Tuhan yang Esa. Bukti Tuhan itu Maha Kaya, Maha Perkasa, Maha Adil, Maha Bijaksana.

Bagaimana nak membalas ? Tak terbalas sungguh. Sungguh tak terbalas. Tapi, takkan nak minta rezeki itu ditarik balik, sungguh tak munasabah mahupun munasarawak.

Jadi hamba yang bersyukur, bukan senang. Sebab manusia itu jika diberi nikmat, kemungkinan besar untuk melencong itu amatlah tinggi. Jika ditimpa musibah pula, bukan senang nak tenangkan diri, mencari ibrah di sebalik perkara yang terjadi.

Fizikal kalau dicederakan, mungkin lambat mungkin cepat, bergantung kepada rawatan yang diterima. Kalau emosi yang tercedera, uish... berat. Menangis berminggu-minggu pun ada. Menjadi Schizo pun ada. Traumanya perit. Tapi, kalau hati itu dekat dengan agama. InsyaAllah, cepatlah rawatannya.

Kadang-kadang terfikir, apa sangatlah menjadi doktor, ibarat menggali lubang dan berkubang di dalamnya. Menyusahkan diri sendiri. Tapi, bila aku fikir balik, kalau tak jadi doktor nak jadi ape lagi... Dah kita suka perkara itu, bersusah-susah la sedikit dahulu. Tambah-tambah pula, direstui oleh kedua orang tua, sejuk perut ibu mengandung kata orang. Tekad lah kali ini, apa nak jadi, jadilah. Semoga Allah memberkati perjuangan aku, dan aku tak menjadi manusia yang sombong dan angkuh, lupa akhirat bila graduasi kelak. Mulut sedap cakap, tangan masih malas nak bergerak. Ish... Ish... Ish...

p/s : Tahniah sahabat-sahabat... Peningkatan yang memberangsangkan, tapi kena ingat itu rezeki dari Allah, kalau DIA nak tarik, anytime, anywhere u know. :)

Pro Exam dalam 2 bulan lagi, ada cuti 4 bulan menanti. Negara mane aku nak jajah ni.