Salam...
Kefahaman itu berbeza antara satu manusia dengan manusia yang lain. Ada yang taraf kefahamannya sangat bagus dalam sesuatu perkara. Namun, dalam perkara yang lain, ada orang lain yang lebih tinggi kefahamannya berbanding orang yang pertama tadi.
Aku sendiri tak berapa faham dalam sesetengah topik dalam sesuatu subjek. Tapi, tak bermakna topik-topik yang lain aku tak faham juga. Biasalah adat orang mengaji ilmu, ada sahaja ruang kosong dalam otak untuk diisi. Ilmu itu luas, namun ditegaskan ilmu yang dimiliki Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi berganda-ganda taraf-Nya. Jika dibandingkan, seperti setitik air yang diceduk dari lautan yang amat luas. Tak terbayang dek fikiran betapa luas ilmu Allah s.w.t. Oleh itu, amat tidak wajarlah seseorang hamba itu jika diberi kelebihan ilmu berbanding hamba-hamba yang lain, lalu bongkak sikapnya serta bakhil dalam berkongsi.
Akhir-akhir ini, ada sahaja orang mengatakan, " Tak faham ko tulis ape, tolong terangkan... ". Ish, blog ini tulis untuk suka-suka sahaja, kadang-kadang sengaja ditulis supaya tak semua faham. Sebenarnya, aku sendiri tak faham apa yang mereka tak faham. Mungkin sebab gaya bahasa rojak yang melampau, menyukarkan proses analisa sebarang post yang ditulis dalam blog ini. Tapi, sudi nak mengingatkan, kadang-kadang/kebanyakan tuan punya blog berkongsi pendapat sahaja. Mahu ditolak, mahu dikritik, mahu dibidas balik... Terpulanglah, sekadar bacaan ringan-ringan sahaja. Tak perlu difikirkan sangat. Satu lagi, kena faham, amatlah tidak cool bagi penulis blog menerangkan tentang postnya kepada pembaca. Kalau tak faham, jangan risau, tak masuk mana-mana soalan peperiksaan.
Faham itu kondisinya sungguh tersirat, tapi boleh dilihat melalui respons. Jika kita buat lawak, lalu ada orang yang gelak. Itu maknanya mereka faham apa yang kita bawakan. Berjaya. Tapi, ini situasi mudah sahaja.
Jika ramai yang faham, tudung itu wajib. Maka kita akan tengok respon, semua wanita bertudung dengan rasa gembira dan senang hati. Jika ramai yang faham, solat itu wajib, Tuhan yang suruh, bukan ibubapa mahupun ustaz-ustazah yang suruh, bukan sebab melihat lakonan Nur Kasih, maka alhamdulillah, ramailah yang bersolat tanpa perlu disuruh-suruh. Masalah sekarang, ramai yang tak faham. Lagi kita takuti, ramai yang buat-buat tak faham. Aduh, pening kepala jadinya.
Pening memang pening kepala. Contoh lain, kita nak minta sesorang individu yang khusus untuk meletak jawatan, tapi beliau tidak faham, menyuruh seluruh kakitangannya pula meletak jawatan. Bukankah itu menunjukkan dia tak faham kehendak rakyat, ataupun dia sengaja buat-buat tak faham ?? Porak peranda satu negara jadinya.
Tak faham sungguh dengan pelbagai isu yang berbangkit sekarang. Macam-macam dan aneh bin ajaib. Terbaru, ada yang mengatakan, nasi itu tidak dimakan, ataupun memakan diri sendiri. Tapi jelas nasi kukus itu bersadai dengan kesan-kesan air liur yang nyata. Aku rasa aku dah faham, tapi bila baca kenyataan itu, aku rasa aku kena belajar banyak lagi. Aku merasakan ada sesuatu yang diputar belitkan. Mungkin perasaan semata-mata. Abaikan. (Kepada sesiapa yang tidak faham perenggan ini harap maaf)
Kadang-kadang juga tak faham, kenapa kita mesti bersikap baik sentiasa walaupun zaman sekarang dah berubah, orang jahat di mana-mana,maknanya kita juga mesti jadi jahat untuk melindungi diri sendiri. Tapi ada pepatah Melayu mengatakan, ada ubi ada batas. Ada buku, ada ruas. Oh, maknanya kena hati-hati sentiasa. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali dua.
Akhir kalam, tak faham adalah rempah ratus dalam kehidupan. Barulah timbul rasa seronok dalam berusaha menambahkan ilmu di dada. Jika anda beritahu orang yang anda faham segalanya, andalah seorang manusia yang paling tak faham dalam dunia.
P/s : Selalu dengar orang cakap macam ni, " I kalau boleh nak cari yang understanding, yang boleh faham I, yang boleh terima I"
No comments:
Post a Comment