Teguran itu penting - I luvIslam

Teguran Itu Penting
www.iluvislam.com

Oleh: Mahasiswa21
Editor: cincaugoreng

Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain
Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah. Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh

Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak langsung suka ditegur. (Inilah masalah negara)
Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang membutuhkan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta  teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak membutuhkan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya sesetengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.

Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba  menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya supaya teguran yang diberikan itu bersifat trully dan hidup. 
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu dituju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.

Orang yang Ditegur
Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melatah,melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya inilah yang kita harus usahakan".

Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang di sekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah? (Telefon 3G ada 2 biji kamera depan belakang juga praktikal)

Yang Paling Penting

Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.
Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

Sumber : Iluvislam.com

Komen : 

Memegang sesuatu kepimpinan itu adalah sesuatu yang berat. Ada yang mengatakan, "Amanah itu beban di dunia, punca kehinaan di akhirat". Namun, pemimpin yang adil dan amanah akan diberikan perlindungan Arasy pada hari yang tiada lagi perlindungan melainkan yang diizinkan oleh ALLAH swt. Ada tujuh golongan semuanya, google-up lah sendiri. 

Kebelakangan ini, rasa seperti agak keterlaluan dalam sesuatu perkara, bukan nak mengungkit-ungkit, tapi agak mudah rasa terkilan dalam urusan kerja. Banyak keputusan dibuat, tapi tak ramai yang respon. Aku ke yang silap ? Kebelakangan ini agaknya terlalu bersikap diktator dan kuku besi dalam menentukan keputusan. Keperluan mengatasi rasa bersalah. 

Ingin menegur dengan cara yang baik, kadang-kadang mudah terlajak ke nafsu amarah yang membuak-buak. Pada masa yang sama juga, rasa macam tak sampai hati untuk menegur, kerana menyedari bahawa persahabatan itu jauh lebih penting. Di waktu-waktu yang genting sebegini, sudah tentu sebarang konfrontasi adalah sangat-sangat ingin dielakkan. Pada masa yang sama, kena ingat, ada hari kita menegur, ada hari kita ditegur. Baik dibalas baik, lunyai dibalas lunyai, itu resamnya. 

Banyak perkara, pertembungan 2 pihak jika dihadapi dengan rasa berlapang dada, toleransi dan masing-masing sedia untuk ditegur sebagaimana huraian yang disertakan di atas, akan berakhir dengan kesudahan yang baik. Sudah tiba masanya, kita kena ada rasa hormat kepada orang lain, walaupun kita tak pernah sama-sama bersetuju dalam sesuatu perkara. 

Waktu yang perit sebegini, haruslah kita muhasabah balik diri kita. Berkeluh-kesah dalam menghadapi kesukaran adalah tindakan yang sangat tidak matang. Sebab orang muda seharusnya berdarah pahlawan, lihat sahaja di Mesir dan Libya, anak-anak muda tak gentar akan senjata, menumpaskan rejim yang tak berhati perut. Tiba-tiba, kita di Malaysia yang aman bumi bertuah ini, hanya diuji Tuhan dengan peperiksaan besar, Professional Exam katanya, sudah rebah jatuh, hilang semangat. Tak patut, sangat-sangat tak patut. Orang lain berjuang dengan AK47 dan juga mesingan anti-pesawat lagi gagah dari orang yang hanya berjuang dengan pemadam dan pensil. Di sinilah persoalan akan timbul, di manakah letaknya sumber kekuatan kita, pada akal sahajakah (Perasan Genius)? Atau pada tawakkal sahajakah ? Atau usaha yang kuat, disertai dengan tawakkal yang sungguh-sungguh. Yang pasti, melepak di depan laptop sambil membuang masa bukanlah boleh dikategorikan sebagai usaha. (Update belog ??? Hehe)

Ayuh, muhasabah diri. Perbaiki diri. Berlapang dada dalam menerima teguran. Dan tidak pesimistik terhadap keupayaan orang lain. Hidup berukhuwwah, bertambah mawaddah.

Mulut pasangannya telinga. Wernicke's area pasangannya Broca's Area. Ilmu pasangannya amal. Perjalanan pasangannya bekalan. Hidup pasangannya mati. 

Okay lah. Cukup panjang sudah post ini. Pasti letih mata membacanya. Selamat belajar dan selamat bekerja, have nice dayS. 

WasSalam.

No comments: